Sebuah mesin pengeluaran automtik (ATM) milik Maybank dipecahkan dalam kejadian rompakan di sebuah sebuah pasar raya di Gong Badak, Kuala Terengganu, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi, kumpulan penjenayah bertopeng, bersenjatakan parang serta sepucuk pistol itu mengambil masa kira-kira empat jam untuk memecahkan tiga peti simpanan milik syarikat berkenaan dan dua mesin ATM yang ditempatkan dalam premis itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, terdahulu kesemua penjenayah terbabit menahan empat penga­wal keselamatan yang sedang ber­tugas di pasar raya dan mengu­rung mereka dalam sebuah stor.

“Pada mulanya kumpulan pen­jenayah terbabit menahan salah seorang daripada pengawal keselamatan yang terserempak dengan mereka berhampiran stor di luar pasar raya.

“Kumpulan itu kemudian men­cari tiga lagi rakan pengawal keselamatan berkenaan sebelum mengikat mereka di dalam stor dengan dikawal oleh dua penjenayah manakala lima lagi masuk ke dalam pasar raya,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Ujar Wan Abdul Aziz, lima penjenayah terbabit kemudian memecahkan dua mesin ATM serta tiga lagi peti besi yang terletak di dalam bilik khas yang ber­asingan sebelum melarikan wang tunai keseluruhannya berjumlah RM1.14 juta.

Jelasnya, siasatan awal polis mendapati penjenayah itu menggunakan beberapa peralatan se­perti kuku kambing, mesin pemotong besi selain gas oxy-acetylere untuk memecahkan ATM serta peti besi tersebut.

“Siasatan juga mendapati ketika melakukan rompakan itu penjenayah mematikan kesemua sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis itu,” katanya. - Utusan Online